29 Januari 2011

Doa Amalan ( Ayat Penggerak )

Ada satu doa yang pendek tetapi sangat besar manfaatnya sekiranya diamalkan dalam kehidupan seharian kita. Doa yang dimaksudkan seperti sabda Rasulullah s.a.w. seperti berikut;



Rasulullah s.a.w. mengajarkan kepada umatnya satu doa yang jika dibaca tiga kali di waktu pagi dan tiga kali di waktu petang maka akan terhindarlah kepada yang membacanya daripada segala kemudaratan disepanjang hari tersebut. Doa daripada hadis di atas adalah seperti berikut;



Mengikut kamus Dewan Bahasa Edisi Ketiga, ”Mudarat” membawa maksud seperti berikut;

1. Tidak Beruntung, Menanggung Rugi
2. Tidak Berhasil, Tidak Berjaya, Gagal
3. Berbahaya
4. Melarat, Bertambah Payah

Dengan itu jika kita amalkan doa yang tersebut di atas, insya’Allah kita akan terhindar daripada ”mudarat” yang disebutkan. Maka dengan itu faedahnya yang diperolehi ialah kita akan;

1. Beruntung, Tidak Menanggung Rugi.
2. Berhasil, Berjaya dan Tidak Gagal.
3. Selamat dari bahaya.
4. Tidak melarat, Menjadi Senang.

Keberuntungan beramal dengan doa ini:

Terhindar Daripada Bahaya

Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din menamakan doa ini sebagai ”Ayat Penggerak” kerana dengan membaca doa ini boleh menggerakkan hati kita untuk meneruskan atau tidak bila hendak melakukan sesuatu kerja-kerja yang berbahaya. Tuan Guru memberikan petua bagaimana untuk beramal dengan doa ini seperti berikut;

• Bila hendak memulakan perjalanan samaada perjalanan yang dekat ataupun jauh, mengembara ke tempat yang telah biasa ataupun yang belum pernah dikunjungi dan sebagainya atau untuk memulakan sesuatu pekerjaan yang mungkin biasa atau berisiko seperti masuk hutan untuk berburu, memancing, menyembelih binatang, bekerja di tempat pembinaan, dan seumpamanya, maka sebelum itu bacalah doa ini sebanyak tujuh kali. Insya’Allah, Allah s.w.t akan melindungi kita daripada segala bentuk kemudaratan, kejahatan dan bahaya yang mungkin ada di sekeliling kita.

• Jika bacaan tersekat-sekat atau terlupa atau ketika sedang membaca ada gangguan seperti gangguan telepon berdering, gangguan daripada anak-anak, gangguan daripada rakan-rakan yang menyapa dan sebagainya yang menyebabkan kosentrasi bacaan terganggu, maka berehatlah dahulu. Jangan diteruskan perjalanan atau pekerjaan tersebut. Setelah berehat beberapa ketika, baca sekali lagi sehingga tujuh kali bacaan. Jika sekiranya bacaan tujuh kali itu lancar baru teruskan perjalanan atau pekerjaan tersebut. Jika diteruskan juga perjalanan atau pekerjaan sedangkan bacaannya tidak lancar, mengikut pengalaman Tuan Guru, kita boleh terkena dengan kemudaratan yang mungkin ada dihadapan kita.

Perlu diingatkan disini bahawa, insya’Allah kita boleh terlepas daripada kemudaratan yang dinamakan Qada’ Muaalaq iaitu ketentuan Allah yang boleh berubah dengan kita berusaha melalui berdoa kepada-Nya. Bagaimanapun jika ianya Qada’ Mubram iaitu ketentuan Allah yang tidak boleh berubah seperti mati maka kalau ajal telah tiba kita membaca doa ini seribu kali sekali pun pasti kita akan mati.

Terhindar Daripada Kemudaratan Makanan:

Makanan dan minuman yang masuk ketubuh badan kita sebahagiannya mengandungi bahan kimia yang beracun. Racun tersebut tidak memberi kesan untuk jangkamasa pendek tetapi terbukti sebahagiannya memudaratkan tubuh badan untuk jangkamasa panjang. Penyakit yang begitu sinonim dewasa ini dalam masyarakat kita seperti kanser, diabetes, dan sebagainya adalah berpunca daripada makanan dan juga minuman. Untuk mengelakkan makanan yang kita makan membawa mudarat kepada tubuh badan adalah disarankan agar mengamalkan doa ini sekurang-kurangnya tiga kali sebelum menjamah apa sahaja makanan dan minuman. Insya’Allah dengan keberkatan membaca doa ini semua makanan dan minuman yang halal, yang dimakan dan diminum tidak memudaratkan tubuh badan kita.

Terhindar Daripada Sihir:

Perbuatan belajar dan mengamalkan ilmu sihir hukumnya adalah syirik dan mereka yang syirik akan mendapat balasan laknat Allah s.w.t. dan mereka akan ditempatkan di dalam neraka selama-lamanya melainkan jika sempat bertaubat sebelum mati.

Kesan perbuatan sihir boleh terkena kepada sesiapa sahaja dengan izin Allah s.w.t. Ada sihir untuk tujuan kecantikan seperti memakai susuk dan kebanyakan amalan sihir adalah untuk tujuan khianat yang boleh memudaratkan seseorang dan sesetengahnya boleh membawa maut. Ada perbuatan sihir yang sememangnya ditujukan kepada seseorang kerana dorongan hasad dengki, dan ada juga yang terkena sihir dengan tidak disengajakan seperti secara tidak sengaja termakan makanan dan minuman yang mengandungi santau.

Pengalaman penulis berhenti makan dengan seorang sahabat di sebuah gerai makan. Gerai tersebut terletak di tepi jalanraya. Ketika hendak menjamah makanan, tiba-tiba pinggan kaca yang berisi nasi terbelah dua. Dalam peristiwa yang lain, sahabat penulis itu menceritakan dia pernah minum di sebuah restoran dimana gelas ditangannya pecah sebelum sempat sampai ke mulutnya. Kedua-dua kejadian ini berlaku kerana makanan dan minuman tersebut ada mengandungi sihir santau. Dia terhindar daripada mudarat sihir dengan berkat beramal dengan doa ini setiap kali sebelum menjamah makanan dan minuman.

Dalam hal yang lain pula, ada juga sihir digunakan untuk tujuan melariskan jualan makanan. Unsur-unsur bahan sihir tertentu dimasukkan ke dalam makanan yang menyebabkan sesiapa yang menjamah makanan tersebut akan merasakan masakan tersebut sungguh sedap. Dengan mengamalkan doa ini insyaAllah kita hanya akan merasa yg asal tanpa dipengaruhi faktor lain.

Terhindar Daripada Gangguan Makhluk Halus:

Apabila kita pergi ke sesuatu tempat yang pada kebiasaannya tempat tersebut makhluk halus berkeliaran atau tinggal seperti di tepi tasek, di dalam hutan, di bangunan yang telah lama di tinggalkan dan sebagainya, maka kita terdedah kepada gangguan makhluk ini. Namun begitu jika kita beramal dengan doa ini insya’Allah mereka tidak berjaya untuk mengusik, manakut-nakutkan dan memudaratkan kita.

Satu perkara yang penting juga, apabila kita pulang ke rumah dari tempat yang disebutkan di atas, kadang kala makhluk itu akan mengekori kita dan masuk ke dalam rumah kita tanpa kita sedari. Jika kita mempunyai anak-anak kecil mereka mudah diganggu oleh makhluk ini, akibatnya anak kecil kita menangis tidak henti-henti. Untuk mengelakkan mereka masuk ke rumah kita, bacalah doa ini tiga kali kemudian ludah ke sebelah kiri sebelum kita masuk ke dalam rumah.

Di dalam hadis yang tersebut di atas, Rasulullah s.a.w. mengajarkan supaya membaca doa ini tiga kali, dengan itu mungkin kurang berkesan jika kita membacanya kurang daripada tiga.

Semoga artikel pendek ini memberi manfaat kepada yang membaca dan mengamalkannya, insya'Allah.

Oleh: Ismail bin Abu Bakar

Luasnya Neraka

Yazid Arraqqasyi dari Anas bin Malik ra. berkata: Jibrail datang kepada Nabi saw pada waktu yg ia tidak biasa datang dalam keadaan berubah mukanya,
maka ditanya oleh nabi s.a.w.: 'Mengapa aku melihat kau berubah muka?'

Jawabnya: ' Ya Muhammad, aku datang kepadamu di saat Allah menyuruh supaya dikobarkan penyalaan api neraka, maka tidak layak bagi orang yg mengetahui bahawa neraka Jahannam itu benar, dan siksa kubur itu benar, dan siksa Allah itu terbesar untuk bersuka-suka sebelum ia merasa
aman dari padanya.'

Lalu nabi s.a.w. bersabda: 'Ya Jibrail, jelaskan padaku sifat Jahannam.'

Jawabnya: 'Ya. Ketika Allah menjadikan Jahannam, maka dinyalakan selama seribu tahun, sehingga merah, kemudian dilanjutkan seribu tahun sehingga putih, kemudian seribu tahun sehingga hitam, maka ia hitam gelap, tidak pernah padam nyala dan baranya. Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan terbuka sebesar lubang jarum nescaya akan dapat membakar penduduk dunia semuanya kerana panasnya.

Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan satu baju ahli neraka itu digantung di antara langit dan bumi nescaya akan mati penduduk bumi kerana panas dan basinya.

Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan satu pergelangan dari rantai yg disebut dalam Al-Quran itu diletakkan di atas bukit, nescaya akan cair sampai ke bawah bumi yg ke tujuh.

Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan seorang di hujung barat terseksa, nescaya akan terbakar orang-orang yang di hujung timur kerana sangat panasnya, Jahannam itu sangat dalam dan perhiasannya besi dan minumannya air panas campur nanah dan pakaiannya potongan-potongan api.

Api neraka itu ada tujuh pintu, tiap-tiap pintu ada bahagiannya yang tertentu dari orang laki-laki dan perempuan.'

Nabi s.a.w. bertanya: ' Apakah pintu-pintunya bagaikan pintu-pintu rumah kami?'

Jawabnya: ' Tidak, tetapi selalu terbuka, setengahnya di
bawah dari lainnya, dari pintu ke pintu jarak perjalanan 70,000 tahun, tiap pintu lebih panas dari yang lain 70 kali ganda.' (nota kefahaman: iaitu yg lebih bawah lebih panas)

Tanya Rasulullah s.a.w.: 'Siapakah penduduk masing-masing pintu?'
Jawab Jibrail:

'Pintu yg terbawah untuk orang-orang munafik, dan orang-orang yg kaf ir setelah diturunkan hidangan mukjizat nabi Isa a.s. serta keluarga Fir'aun sedang namanya Al-Hawiyah.

Pintu kedua tempat orang-orang musyrikin bernama Jahim,

Pintu ketiga tempat orang shobi'in bernama Saqar.

Pintu ke empat tempat Iblis dan pengikutnya dari kaum Majusi bernama Ladha,

Pintu kelima orang Yahudi bernama Huthomah.

Pintu ke enam tempat orang nasara bernama Sa'eir .'

Kemudian Jibrail diam segan pada Rasulullah s.a.w. sehingga ditanya: 'Mengapa tidak kau terangkan penduduk pintu ke tujuh?'

Jawabnya: 'Di dalamnya orang-orang yg berdosa besar dari umatmu yg sampai mati belum sempat bertaubat.'

Maka Nabi s.a.w. jatuh pengsan ketika mendengar keterangan itu, sehingga Jibrail meletakkan kepala Nabi s.a.w. di pangkuannya sehingga sedar kembali dan sesudah sadar Nabi s.a.w bersabda: 'Ya Jibrail, sungguh besar kerisauanku dan sangat sedihku, apakah ada seorang dari ummatku yang akan masuk ke dalam neraka?'

Jawabnya: 'Ya, iaitu orang yg berdosa besar dari ummatmu.'

Kemudian Nabi s.a.w. menangis, Jibrail juga menangis, kemudian Nabi s.a.w. masuk ke dalam rumahnya dan tidak keluar kecuali untuk sembahyang kemudian kembali dan tidak berbicara dengan orang dan bila sembahyang selalu menangis dan minta kepada Allah.(dipetik dari kitab' Peringatan Bagi Yg Lalai')

Dari Hadith Qudsi: Bagaimana kamu masih boleh melakukan maksiat sedangkan kamu tak dapat bertahan dengan panasnya terik matahari Ku.

Tahukah kamu bahawa neraka jahanamKu itu:

1. Neraka Jahanam itu mempunyai 7 tingkat

2. Setiap tingkat mempunyai 70,000d daerah

3. Setiap daerah mempunyai 70,000 kampung

4. Setiapk ampung mempunyai 70,000 rumah

5. Setiap rumah mempunyai 70,000 bilik

6. Setiap bilik mempunyai 70,000 kotak

7. Setiap kotak mempunyai 70,000 batang pokok zarqum

8. Di bawah setiap pokok zarqum mempunyai 70,000 ekor ular

9. Di dalam mulut setiap ular yang panjang 70 hasta mengandungi
lautan racun yang hitam pekat.

10.Juga di bawah setiap pokok zarqum mempunyai 70,000 rantai

11.Setiap rantai diseret oleh 70,000 malaikat

Oleh itu marilah sama2 kita merenung dan menginsafi diri sebagai Hamba Allah S.W.T yang lemah ini.

Balasan Meninggalkan Solat Wajib

Ijma’ para ulama mengatakan bahawa hukum orang yang meninggalkan solat kerana ingkar terhadap kewajipannya, adalah jatuh kafir.

Namun, sekiranya seseorang itu meninggalkan solat atas sebab malas, tetapi dia tahu dia wajib solat, maka terdapat tiga pendapat ulama tentang hukumnya, iaitu:

1. Orang itu tidak menjadi kafir, tetapi dia menjadi fasik. Maka wajib atas pihak yang berkuasa bertindak menyuruhnya bertaubat kembali mengerjakan solat. Sekiranya dia enggan bertaubat maka dijalankan ke atasnya hukuman hudud, iaitu dibunuh dengan pedang.

Ini pendapat Imam Malik, Syafi’e dan jumhur ulama salaf dan khalaf.

2. Orang itu menjadi kafir. Hukumnya sama seperti orang yang ingkar terhadap kewajipannya tadi.

Ini adalah pendapat satu jemaah daripada para salaf yang diambil riwayatnya daripada Saidina Ali bin Abu Talib dan salah satu pandangan Imam Ahmad bin Hambal serta pendapat Abdullah bin al-Mubarak dan Ishak bin Rahawaih.

3. Orang itu tidak menjadi kafir dan tidak pula dibunuh, sebaliknya ditakzirkan dengan dipenjarakan sehingga dia mengerjakan solat.

Ini pula adalah pendapat Imam Abu Hanifah dan satu jemaah daripada para fuqahak Kufah dan juga pendapat al-Muzani seorang pendokong dan pengikut Imam asy-Syafi’e.

BALASAN UNTUK MEREKA YANG MENINGGALKAN SEMBAHYANG

Barang siapa yang meremehkan atau meninggalkan sembahyangnya dengan sengaja, maka Allah akan menghukumnya dengan 15 seksaan iaitu,

Ketika di dunia;

1. Dicabut berkat pada umurnya.
2. Dihapus tanda orang soleh pada wajahnya.
3. Amalan yang dikerjakannya tiada pahala.
4. Doanya tidak diangkat ke langit.
5. Tidak mendapat pahala orang solehin.

Ketika mati;

6. Mati dalm kehinaan.
7. Mati dalam kelaparan.
8. Mati dalam kehausan, walau diberi air selautan pun tidak
mencukupi.

Ketika dalam kubur;

9. Disempitkan kuburnya hingga berselisih tulang rusuknya.
10. Dinyalakan api di dalam kubur lalu bermainlah ia di dalamnya siang
dan malam.
11. Didatangi ular `Syuja` yang buta mata dan kukunya dari besi dimana
setiap kuku panjangnya mengambil masa perjalanan sehari.

Ketika hari kiamat;

12. Diberatkan hisabnya.
13. Mendapat kemurkaan Allah.
14. Dimasukkan terus ke dalam neraka.
15. Putus dari rahmat Allah.

DOSA MENINGGALKAN SEMBAHYANG

Meninggalkan sembahyang adalah satu-satunya pemisahan antara keimanan dengan kekufuran. Dosa setimpal untuk mereka yang meninggalkan sembahyang bagi setiap fardu adalah seperti berikut;

Subuh - satu fardu yang ditinggalkan Allah akan mencampakkannya
ke dalam neraka selama 60 tahun.

Zuhur - satu fardu yang ditinggalkan, dosanya sama seperti
membunuh 1000 orang Islam.

sar - satu fardu yang ditinggalkan, dosanya samalah seperti
meruntuhkan kaabah.

Maghrib - satu fardu yang ditinggalkan, dosanya sama seperti seorang
itu berzina dengan ibu (bagi lelaki) atau bapa (bagi perempuan).

Isyak - satu fardu yang ditinggalkan, Allah tidak akan meredhai hidupnya di atas
muka bumi ini.

27 Januari 2011

Tanda 100 Hari Sebelum Mati

TANDA PERTAMA

Ini adalah tanda pertama dari Allah SWT kepada hambanya dan hanya akan disedari oleh mereka yang dikehendakinya.

Semua orang Islam akan mendapat tanda ini cuma samada mereka sedar atau tidak sahaja.
Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar .

Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan mengalami getaran atau seakan-akan mengigil.

Contohnya seperti daging lembu yang baru saja disembelih dimana jika diperhatikan dengan teliti kita akan mendapati daging tersebut seakan-akan bergetar.

Tanda ini rasanya lazat dan bagi mereka yang sedar dan berdetik di hati bahawa mungkin ini adalah tanda mati maka getaran ini akan berhenti dan hilang setelah kita sedar akan kehadiran tanda ini.

Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian, tanda ini akan lenyap begitu sahaja tanpa sebarang munafaat.

Bagi yang sedar dengan kehadiran tanda ini maka ini adalah peluang terbaik untuk memunafaatkan masa yang ada untuk mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan dibawa atau ditinggalkan sesudah mati.

TANDA 40 HARI

Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut.

Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arash Allah SWT.

Maka Malaikat Maut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas kita, antaranya ialah ia akan mula mengikuti kita sepanjang masa.

Akan terjadi Malaikat Maut ini akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika.

Adapun Malaikat Maut ini wujudnya cuma seorang tetapi kuasanya untuk mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan dicabutnya.

TANDA 7 HARI

Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara tiba-tiba ianya berselera untuk makan.

TANDA 3 HARI

Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita iaitu diantara dahi kanan dan kiri.

Jika tanda ini dapat dikesan maka berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti.

Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi.

Telinganya akan layu dimana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam.

Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.

TANDA 1 HARI

Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu denyutan di sebelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun di mana ini menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya.

TANDA AKHIR

Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum.
Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikatmaut untuk menjemput kita kembali kepada Allah SWT yang elah menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula.

Sajak : Kalau Dahi Tak Mencecah Sejadah Di Dunia

Kalau dahi tak mencecah sejadah di dunia
Bersihkanlah dirimu sebelum kamu dimandikan
Berwudhu'lah kamu sebelum kamu diwudhu'kan
Dan solatlah kamu sebelum kamu disolatkan
Tutuplah 'auratmu sebelum 'auratmu ditutupkan

Dengan kain kafan yang serba putih
Pada waktu itu tidak guna lagi bersedih
Walaupun orang yang hadir itu merintih
Selepas itu kamu akan diletak di atas lantai
Lalu dilaksanakanlah solat Jenazah

Dengan empat kali takbir dan satu salam
Berserta Fatihah, Selawat dan doa
Sebagai memenuhi tuntutan Fardhu Kifayah
Tapi apakah empat kali takbir itu dapat menebus
Segala dosa meninggalkan solat sepanjang hidup?

Apakah solat Jenazah yang tanpa rukuk dan sujud
Dapat membayar hutang rukuk dan sujudmu yang telah luput?
Sungguh tertipulah dirimu jika beranggapan demikian
Justeru kumenyeru sekelian Muslimin dan Muslimat

Usunglah dirimu ke tikar solat
Sebelum kamu diusung ke liang lahad
Menjadi makanan cacing dan makanan ulat
Iringilah dirimu ke masjid
Sebelum kamu diiringi ke Pusara

Tangisilah dosa-dosamu di dunia
Kerana tangisan tidak berguna di alam baqa'
Sucikanlah dirimu sebelum kamu disucikan
Sedarlah kamu sebelum kamu disedarkan
Dengan panggilan 'Izrail yang menakutkan

Berimanlah kamu sebelum kamu ditalkinkan
Kerana ianya berguna untuk yang tinggal
Bukan yang pergi
Beristighfarlah kamu sebelum kamu diistighfarkan

Namun ketika itu istighfar tidak menyelamatkan
Ing atlah di mana saja kamu berada
Kamu tetap memijak bumi Tuhan
Dan dibumbungi dengan langit Tuhan
Serta menikmati rezeki Tuhan

Justeru bila Dia menyeru, sambutlah seruan-Nya
Sebelum Dia memanggilmu buat kali yang terakhirnya
Ingatlah kamu dahulu hanya setitis air yang tidak bererti
Lalu menjadi segumpal darah
Lalu menjadi seketul daging
Lalu daging itu membaluti tulang
Lalu jadilah kamu insan yang mempunyai erti
Ingatlah asal usulmu yang tidak bernilai itu

Yang kalau jatuh ke tanah
Ayam tak patuk itik tak sudu
Tapi Allah mengangkatmu ke suatu mercu
Yang lebih agung dari malaikat

Lahirmu bukan untuk dunia
Tapi gunakanlah ia buat melayar bahtera akhirat
Sambutlah seruan 'Hayya 'alas Solaah'
Dengan penuh rela dan bersedia
Sambutlah seruan 'Hayya 'alal Falaah'

Jalan kemenangan akhirat dan dunia
Ingatlah yang kekal ialah amal
Menjadi bekal sepanjang jalan
Menjadi teman di perjalanan
Guna kembali ke pangkuan Tuhan

Pada hari itu tiada berguna Harta, tahta dan putera
Isteri, kad kredit dan kereta
Kondominium, saham dan niaga
Kalau Dahi Tak Mencecah Sejadah Di Dunia

Petua

4 PERKARA UNTUK SIHAT

Empat perkara menguatkan badan :
1. makan daging
2. memakai haruman
3. kerap mandi
4. berpakaian dari kapas

Empat perkara melemahkan badan :
1. banyak berkelamin (bersetubuh)
2. selalu cemas
3. banyak minum air ketika makan
4. banyak makan bahan yang masam

Empat perkara menajamkan mata :
1. duduk mengadap kiblat
2. bercelak sebelum tidur
3. memandang yang hijau
4. berpakaian bersih

Empat perkara merosakan mata :
1. memandang najis
2. melihat orang dibunuh
3. melihat kemaluan
4. membelakangi kiblat

Empat perkara menajamkan fikiran :
1. tidak banyak berbual kosong
2. rajin bersugi (gosok gigi)
3. bercakap dengan orang soleh
4. bergaul dengan para ulama

4 CARA TIDUR

1. TIDUR PARA NABI :
Tidur terlentang sambil berfikir tentang kejadian langit dan
bumi.

2. TIDUR PARA ULAMA' & AHLI IBADAH :
Miring ke sebelah kanan untuk memudahkan terjaga untuk solat
malam.

3. TIDUR PARA RAJA YANG HALOBA
Miring ke sebelah kiri untuk mencernakan makanan yang banyak
dimakan.

4. TIDUR SYAITAN :
Menelungkup/tiarap seperti tidurnya ahli neraka.

26 Januari 2011

Cincin

Bertepatan dengan kandungan antara Nasihat Nabi Muhammad S.A.W. kepada Saidina Ali K.W. sesudah Saidina Ali berkahwin dengan Siti Fatimah iaitu anakanda kesayangan Nabi Muhammad S.A.W.

Nabi Muhammad S.A.W. berpesan kepada Saidina Ali iaitu kalau memakai cincin pakailah di jari:
1. jari manis
2. jari kelingking (anak jari)
Jangan memakai pada jari:
1. Jari tengah
2. Jari telunjuk

Nabi Muhammad S.A.W. melarang kerana memakai cincin pada jari telunjuk dan jari tengah adalah meniru cara berhias kaum yang dilaknat oleh Allah iaitu kaum yang derhaka dizaman Nabi Lut A.S. Cara memakai cincin adalah termasuk lelaki ataupun perempuan. Muslimin dan Muslimat, sila nasihatkan kawan-kawan dan juga saudara-mara ataupun anak-anak tentang kaedah yang betul untuk berhias di dalam syariat Islam.

Nabi Muhammad S.A.W. memakai cincin dan kalau kita memakai cincin dengan niat mengikut sunnah Nabi dapatlah kita pahala.

Menurut Imam Syafie, "Kepada lelaki, pemakaian cincin perak di jari kecil sebelah kanan(kelengking) adalah dibenarkan dan jika ia mahu dijari kecil sebelah kiri juga dibenarkan kerana kedua-duanya adalah sah dari Nabi Muhammad S.A.W. Namun yang masyhur adalah sebelah kanan yang afdal kerana ia sebagai perhiasan, dan kanan adalah mulia. Tambah imam Syafie, "memakai cincin di jari tengah dan jari telunjuk adalah dilarang".

Berdasarkan sebuah hadith dari Saidina Ali R.A. "Rasulullah S.A.W. melarang memakai cincin di jari ini atau ini, katanya dengan menunjuk kearah jari tengah dan yang berikutnya.

Kebolehan memakai cincin perak atau silver:Berdasarkan sebuah hadith, "Tatkala Nabi Muhammad S.A.W. ingin menulis surat kepada orang Rom. Beliau telah diberitahu bahawa mereka(orang Rom) tidak akan membaca mana-mana surat melainkan ada cop keatasnya, maka baginda pun mengambil cincin peraknya, Ia bagaikan seperti aku melihat sesuatu yang berkilat di tangannya, dan diukir dengan perkataan Muhammad Rasulullah" Hadith Riwayat Bukhari

Berkenaan Mimpi

Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari (nombor hadis 6983) dan Imam Muslim (nombor hadis 2263) yang bermaksud:

"Mimpi yang baik daripada seorang yang soleh adalah satu juzuk daripada 46 juzuk daripada kenabian". (lafaz oleh Imam Bukhari)

Di dalam hadis lain pula yang diriwayatkan oleh Imam bukhari (6984) dan Imam Muslim (2261) yang bermaksud:

"Mimpi yang baik datangnya daripada Allah dan mimpi yang buruk datangnya dari syaitan". (lafaz oleh Imam Muslim)

Imam Ibnu Hajar telah membahagikan darjat mimpi mengikut kebenaran serta kebatilan mimpi kepada tiga golongan:

1. Golongan pertama ialah golongan anbia' (para nabi) di mana ke semua mimpi mereka adalah benar belaka dan ianya adalah wahyu daripada Allah Taala, seperti mimpi Nabi Ibarahim yang mendapat perintah Allah untuk menyembelih anaknya Ismail.

2. Golongan kedua pula ialah golongan hamba-hambanya yang soleh. Sebahagian besar mimpi orang-orang soleh adalah benar. Ini kerana mereka adalah golongan yang dimuliakan oleh Allah Taala kerana mereka adalah orang yang sentiasa menjaga hubungan dengan Allah Taala. Orang yang demikian Allah Taala membuka kelebihan dan karomah kepada mereka dengan mimpi-mimpi yang benar-benar berlaku. Namun ada juga ada juga mimpi golongan ini yang tidak betul tetapi ianya jarang sekali berlaku kerana syaitan tidak dapat mengampiri mereka kerana mereka dekat dengan Allah Taala.

3. Golongan ketiga ialah mereka yang selain daripada para nabi dan orang-orang soleh iaitu golongan biasa. Bagi golongan ini nisbah mimpi benar dan batil adalah sama. Mimpi orang fasiq dan orang kafir pula boleh dikatakan jarang sekali berlaku kebenarannya.

Persoalan yang timbul, apakah yang dimaksudkan dengan mimipi orang soleh ialah sebahagian daripada 46 daripada kebenaran? Imam Ibnu Hajar di dalam kitab Fathul Baari menjelaskan bahawa:

Para nabi telah dimuliakan oleh Allah daripada manusia biasa dan telah dibuka kepada mereka perkhabaran-perkhabaran ghaib yang tidak diketahui oleh manusia biasa. Begitu juga dengan muslim yang soleh yang sentiasa beramal dengan sunnah nabi telah diberikan oleh Allah Taala sebahagian daripada kenabian iaitu; dibuka kepada mereka perkhabaran ghaib samaada melalui mimpi yang benar ataupun firasat (tanggapan yang benar). Sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

"Takutlah kamu firasat orang2 mukmin, sesungguhnya mereka melihat dengan cahaya Allah".

Manakala mimpi yang benar terbahagi kepada dua:

1. Mimpi yang jelas dan nyata yang tidak perlu kepada pentafsiran seperti seorang yang bermimpi dia dikurniakan oleh Allah dengan duit emas, apabila bangkit daripada tidurnya dia mendapati duit tersebut berada di sisinya.

2. Mimpi benar yang perlu kepada penafsiran. (boleh rujuk kitab tafsir mimpi seperti kitab Ibnu Sirin)

Seorang ulamak bernama Al-Halimi berkata: "Kemungkinan berlaku malaikat memberi ilham kedalam hati orang-orang yang soleh yang memberi petunjuk kepada orang soleh tersebut dalam melakukan satu-satu perkara yang baik atau memberi amaran supaya meninggalkan sesuatu perkara buruk".

Sebelum saya akhiri elok kiranya saya menyebut di sini bebarapa adab yang telah ditunjukkan oleh Rasuullah SAW sebelum daripada kita memasuki alam mati yang sementara supaya mimpi kita bukan daripada mainan syaitan. Dan semoga ianya adalah mimpi yang benar dan ilham daripada Allah.

Antaranya:

1. Membaca doa "Bismikallahumma ahyaa wa amuutu"
2. Membaca dua kalimah syahadah.
3. Selawat ke atas Nabi.
4. Membaca ayat Kursi
5. Membaca ayat 285-286 surah Al-Baqarah.
6. Surah Al-Kaafiruun.
7. Menadahkan dua tangan seperti biasa berdoa kemudian diludahkan ke dalamnya dan baca surah Al-Falaq (Qul a'auuzubirabbil falaq...)
8. Surah Al-Faatihah.
9. Tasbih 33 kali, tahmid 33 kali, takbir 33 kali.
10. Kemudian tidur dengan mengiring sebelah kanan dan meletakkkan kedua-dua tangan di bawah pipi kanan.
11. Kemudian tidur dengan mengiring sebelah kanan dan meletakkan kedua tangan di bawah pipi kanan.

Antara adab-adab ketika lepas bermimpi. Kalau kita bermimpi dengan mimpi yang baik, disunatkan supaya kita memberitahu kepada mereka yang kita sayang dengan dengan harapan bahawa mimpi tersebut akan betul-betul berlaku.

Manakala mimpi buruk pula kita disunatkan melakukan perkara-perkara tersebut:

1. Membaca ta'awwuz (A'uuzubillahi minasysyaitoonir roojiim)
2. Meludah kesebelah kiri kita sebanyak 3 kali.
3. Mengubah cara tidur ke sebelah yang lain.
4. Bangun sembahyang 2 rakaat (jika mampu)

Kalau diamalkan perkara di atas Insya Allah mimpi yang buruk itu tidak ada apa-apa kesan ke atas kita.
_______________________________________________________
RUJUKAN
1. HUJJATULLAHUL BAALIGHAH Oleh: Imam Ad-Dahlawi.
2. SYARAH SAHIH MUSLIM Oleh: Imam An-Nawawi.
3. FATHUL BAARI Oleh: Imam Ibnu Hajar.