26 Januari 2011

Berkenaan Mimpi

Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari (nombor hadis 6983) dan Imam Muslim (nombor hadis 2263) yang bermaksud:

"Mimpi yang baik daripada seorang yang soleh adalah satu juzuk daripada 46 juzuk daripada kenabian". (lafaz oleh Imam Bukhari)

Di dalam hadis lain pula yang diriwayatkan oleh Imam bukhari (6984) dan Imam Muslim (2261) yang bermaksud:

"Mimpi yang baik datangnya daripada Allah dan mimpi yang buruk datangnya dari syaitan". (lafaz oleh Imam Muslim)

Imam Ibnu Hajar telah membahagikan darjat mimpi mengikut kebenaran serta kebatilan mimpi kepada tiga golongan:

1. Golongan pertama ialah golongan anbia' (para nabi) di mana ke semua mimpi mereka adalah benar belaka dan ianya adalah wahyu daripada Allah Taala, seperti mimpi Nabi Ibarahim yang mendapat perintah Allah untuk menyembelih anaknya Ismail.

2. Golongan kedua pula ialah golongan hamba-hambanya yang soleh. Sebahagian besar mimpi orang-orang soleh adalah benar. Ini kerana mereka adalah golongan yang dimuliakan oleh Allah Taala kerana mereka adalah orang yang sentiasa menjaga hubungan dengan Allah Taala. Orang yang demikian Allah Taala membuka kelebihan dan karomah kepada mereka dengan mimpi-mimpi yang benar-benar berlaku. Namun ada juga ada juga mimpi golongan ini yang tidak betul tetapi ianya jarang sekali berlaku kerana syaitan tidak dapat mengampiri mereka kerana mereka dekat dengan Allah Taala.

3. Golongan ketiga ialah mereka yang selain daripada para nabi dan orang-orang soleh iaitu golongan biasa. Bagi golongan ini nisbah mimpi benar dan batil adalah sama. Mimpi orang fasiq dan orang kafir pula boleh dikatakan jarang sekali berlaku kebenarannya.

Persoalan yang timbul, apakah yang dimaksudkan dengan mimipi orang soleh ialah sebahagian daripada 46 daripada kebenaran? Imam Ibnu Hajar di dalam kitab Fathul Baari menjelaskan bahawa:

Para nabi telah dimuliakan oleh Allah daripada manusia biasa dan telah dibuka kepada mereka perkhabaran-perkhabaran ghaib yang tidak diketahui oleh manusia biasa. Begitu juga dengan muslim yang soleh yang sentiasa beramal dengan sunnah nabi telah diberikan oleh Allah Taala sebahagian daripada kenabian iaitu; dibuka kepada mereka perkhabaran ghaib samaada melalui mimpi yang benar ataupun firasat (tanggapan yang benar). Sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

"Takutlah kamu firasat orang2 mukmin, sesungguhnya mereka melihat dengan cahaya Allah".

Manakala mimpi yang benar terbahagi kepada dua:

1. Mimpi yang jelas dan nyata yang tidak perlu kepada pentafsiran seperti seorang yang bermimpi dia dikurniakan oleh Allah dengan duit emas, apabila bangkit daripada tidurnya dia mendapati duit tersebut berada di sisinya.

2. Mimpi benar yang perlu kepada penafsiran. (boleh rujuk kitab tafsir mimpi seperti kitab Ibnu Sirin)

Seorang ulamak bernama Al-Halimi berkata: "Kemungkinan berlaku malaikat memberi ilham kedalam hati orang-orang yang soleh yang memberi petunjuk kepada orang soleh tersebut dalam melakukan satu-satu perkara yang baik atau memberi amaran supaya meninggalkan sesuatu perkara buruk".

Sebelum saya akhiri elok kiranya saya menyebut di sini bebarapa adab yang telah ditunjukkan oleh Rasuullah SAW sebelum daripada kita memasuki alam mati yang sementara supaya mimpi kita bukan daripada mainan syaitan. Dan semoga ianya adalah mimpi yang benar dan ilham daripada Allah.

Antaranya:

1. Membaca doa "Bismikallahumma ahyaa wa amuutu"
2. Membaca dua kalimah syahadah.
3. Selawat ke atas Nabi.
4. Membaca ayat Kursi
5. Membaca ayat 285-286 surah Al-Baqarah.
6. Surah Al-Kaafiruun.
7. Menadahkan dua tangan seperti biasa berdoa kemudian diludahkan ke dalamnya dan baca surah Al-Falaq (Qul a'auuzubirabbil falaq...)
8. Surah Al-Faatihah.
9. Tasbih 33 kali, tahmid 33 kali, takbir 33 kali.
10. Kemudian tidur dengan mengiring sebelah kanan dan meletakkkan kedua-dua tangan di bawah pipi kanan.
11. Kemudian tidur dengan mengiring sebelah kanan dan meletakkan kedua tangan di bawah pipi kanan.

Antara adab-adab ketika lepas bermimpi. Kalau kita bermimpi dengan mimpi yang baik, disunatkan supaya kita memberitahu kepada mereka yang kita sayang dengan dengan harapan bahawa mimpi tersebut akan betul-betul berlaku.

Manakala mimpi buruk pula kita disunatkan melakukan perkara-perkara tersebut:

1. Membaca ta'awwuz (A'uuzubillahi minasysyaitoonir roojiim)
2. Meludah kesebelah kiri kita sebanyak 3 kali.
3. Mengubah cara tidur ke sebelah yang lain.
4. Bangun sembahyang 2 rakaat (jika mampu)

Kalau diamalkan perkara di atas Insya Allah mimpi yang buruk itu tidak ada apa-apa kesan ke atas kita.
_______________________________________________________
RUJUKAN
1. HUJJATULLAHUL BAALIGHAH Oleh: Imam Ad-Dahlawi.
2. SYARAH SAHIH MUSLIM Oleh: Imam An-Nawawi.
3. FATHUL BAARI Oleh: Imam Ibnu Hajar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan